1.9 juta orang di Malaysia ada masalah pendengaran

0
1
Suasana di hadapan Kompleks Sogo dan Jalan TAR ketika tinjauan Malaysiapost hari ini. Kerajaan mengumumkan kelonggaran kepada penerima-penerima 2 dos vaksin lengkap mengunjungi kedai-kedai dan kompleks membeli belah yang dibenarkan.

DIANGGARKAN seramai 1.9 juta orang atau 7.6 peratus populasi dewasa di Malaysia mengalami ketidakupayaan pendengaran, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin merujuk kepada tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019.

Beliau berkata, menerusi statistik pendaftaran orang kurang upaya (OKU) Pendengaran di Malaysia, menunjukkan seramai 40,743 individu iaitu golongan dewasa termasuk kanak-kanak telah berdaftar sehingga 31 Disember 2021.

Menurutnya, statistik OKU Pendengaran itu lebih rendah berbanding tinjauan yang dilakukan sebelum ini.

“OKU di Malaysia dilindungi di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008 termasuklah OKU Pendengaran. Mereka berhak menerima pengesanan awal ketidakupayaan, intervensi bersesuaian serta rawatan rehabilitasi bagi mencegah ketidakupayaan.

“Saya menyeru individu bermasalah pendengaran untuk mendaftar atau didaftarkan oleh ahli keluarga atau jiran serta rakan-rakan bagi memastikan mereka mendapat hak dan peluang yang sama dalam kalangan masyarakat,” katanya pada Majlis Pelancaran Hari Pendengaran Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi mendokong Akta OKU 2008, KKM mengambil langkah mengenal pasti masalah pendengaran di awal usia melalui Program Saringan Pendengaran Neonatal (Universal Newborn Hearing Screening-UNHS).

Menurutnya, KKM telah memulakan Saringan Pendengaran Neonatal yang berisiko tinggi (High Risk Neonatal Hearing Screening HRNHS) pada 2001.

“Program ini kemudiannya dikembangkan kepada semua bayi baru lahir (Universal Neonatal Hearing Screening UNHS).

“Terdapat 44 buah hospital KKM yang menjalankan Program Saringan Pendengaran Neonatal. Data menunjukkan insiden masalah pendengaran jenis kekal adalah 4 bagi setiap 1,000 bayi yang disaring,” katanya.

Beliau memaklumkan peratusan bayi yang disaring pendengaran masa ini adalah 62 peratus dan akan ditambah baik sehingga mencapai standard ditetapkan oleh Joint Committee Infant of Hearing (JCIH) iaitu pada kadar 95 peratus atau ke atas.

“Ini adalah penting kerana masalah hilang upaya pendengaran dalam kalangan bayi dan kanak-kanak adalah ‘hidden disability’ dan kegagalan pengesanan awal memberi impak ketara terhadap masa depan mereka.

“Oleh itu saya berharap kita dapat memperluaskan program ini dan saya mahukan agar “Universal Hearing Screening” bagi bayi yang dilahirkan di Malaysia dijadikan salah satu agenda kesihatan kebangsaan pada masa akan datang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here