407,097 calon menduduki SPM 2021 hari ini

0
2

SERAMAI 407,097 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 menduduki peperiksaan di 3,000 pusat peperiksaan seluruh negara hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata daripada jumlah itu 50,317 daripadanya adalah melibatkan calon di negeri Johor.

Beliau berkata, peperiksaan yang bermula hari ini berjalan lancar di bawah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang baik.

“Pagi ini saya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2 dan SMK Kota Masai bagi meninjau perjalanan hari pertama peperiksaan SPM kohort 2021.

“Alhamdulillah, keadaan teratur dan peperiksaan berjalan dengan lancar di bawah pematuhan SOP yang baik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah serta lebih 50,000 petugas peperiksaan yang terlibat dalam pelaksanaan SPM kali ini.

“Terima kasih juga kepada Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana membenarkan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diatur gerak bagi membantu membawa calon-calon SPM 2021 ke pusat-pusat peperiksaan, khususnya di negeri yang dilanda banjir.

“Terima kasih semua dan selamat maju jaya kepada calon.Saya doakan semoga anak-anak generasi pewaris negara ini dapat melakukan yang terbaik selepas melalui tempoh mencabar dalam pembelajaran sebelum hari peperiksaan,” katanya.

Sementara itu memetik laporan Harian Metro, Mohd Radzi berkata, ibu bapa dan calon SPM 2021 yang positif Covid-19, kuarantin dan kontak rapat tidak perlu bimbang kerana masih berpeluang mendudukinya pada sidang kedua, April ini.

Katanya, calon hanya perlu mengemukakan borang deklarasi, pengesahan pengetua dan maklumat MySejahtera untuk membuktikan mereka dalam tiga situasi berkenaan.

“Jadi calon yang positif ini tak perlu risau kerana apabila mereka positif dan disahkan oleh pengetua atau ada deklarasi ataupun ada bukti daripada MySejahtera itu, maka mereka boleh menduduki peperiksaan dalam sidang kedua yang akan dilaksanakan pada April nanti.

“Begitu juga dengan calon kontak rapat boleh menunjukkan tiga perkara itu serta calon yang terkesan dengan banjir seperti di Kelantan, juga dibenarkan menduduki peperiksaan pada sidang kedua kerana kekangan pusat peperiksaan ditutup dan situasi semasa di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tinjauan pelaksanaan SPM 2021 di SMK Kota Masai 2, Taman Kota Masai, Johor hari ini.

Ditanya mengenai 147 sekolah yang dijadikan pusat mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pula, beliau memberi jaminan ia tidak akan mengganggu proses perjalanan SPM 2021. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here