PERALIHAN ke fasa endemik penuh tertakluk kepada pengumuman yang hanya boleh dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata fasa itu merupakan fasa transisi atau peralihan sebagai persediaan sebelum kita melangkah masuk ke fasa endemik sepenuhnya.
“Terdapat tujuh tonggak yang harus dipenuhi bersama di Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ ini.
“Ini kerana, sebaik sahaja Kerajaan mengumumkan Fasa ‘Peralihan Ke Endemik, maka usaha melindungi diri daripada virus ini lebih bergantung kepada disiplin kendiri rakyat (self-discipline),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hishammuddin berkata, kerajaan juga mengambil maklum bahawa rakyat melihat banyak negara telah memberi pelbagai kelonggaran.
“Inilah juga yang sedang kerajaan usahakan bagi mengurangkan gangguan dan memberi lebih kebebasan kepada rakyat.
“Sekolah telah dibuka, rentas negeri telah dibenarkan malah sempadan negara bakal dibuka tidak lama lagi. Kerajaan tidak akan menariknya semula,” ujarnya.
Katanya, namun bagi negara ini, keutamaan kerajaan terutama Kuartet adalah membuka secara selamat atau ‘Reopening Safely’.
Jelas beliau, ia juga selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam agar peralihan negara menuju fasa endemik dibuat secara berhati-hati.
“Ini bermakna, di Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ kelak, rakyat akan lebih bebas namun langkah-langkah keselamatan, SOP serta garis panduan masih perlu dipatuhi dengan penuh disiplin.
“Ia termasuklah pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan penjagaan kebersihan diri,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, buat masa ini gelombang Omicron tidak akan menyebabkan kerajaan melaksanakan semula sekatan secara besar-besaran.
Beliau menjelaskan, salah satu sebabnya ialah kerana ramai rakyat telah menerima vaksinasi lengkap.
“Lebih 97.5 peratus dewasa telah menerima dua dos vaksin, 62 peratus dewasa telah menerima dos penggalak, 90 peratus remaja telah divaksin dan program vaksinasi untuk kanak-kanak juga giat dilaksanakan,” ujarnya lagi. – Malaysiapost

