KEJAYAAN Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip lebih RM140 bilion hasil cukai bagi tahun 2021 adalah sesuatu yang membanggakan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding tahun 2020 merupakan usaha transformasi LHDN yang merentasi 28 perkhidmatan percukaian secara dalam talian.
“Selain enam aplikasi digital di bawah pendekatan Go Digital for Future Services. Peningkatan hasil bermakna lebih banyak sumber boleh dibelanjakan demi kesejahteraan #KeluargaMalaysia,” katanya menerusi Facebook.
Namun, Tengku Zafrul berkata, peranan LHDN bukan sekadar mengutip cukai malah turut meringankan beban rakyat menerusi agihan Bantuan Prihatin Rakyat, Bantuan Prihatin Nasional dan terkini, Bantuan Keluarga Malaysia.
⠀
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada penerima-penerima Anugerah Pembayar Cukai Terbaik Tahun 2021 dan Anugerah Most Outstanding Hasilian 2021. Terima kasih atas segala usaha dan kerjasama anda.⠀
⠀
“Saya berharap Keluarga HASiL (LHDN)mengekalkan momentum positif yang telah berjaya dicapai, dan terus berusaha untuk melakarkan kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun ini dan akan datang,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon mengumumkan kutipan cukai LHDN bagi tahun 2021 meningkat sebanyak 17 peratus berbanding tahun 2020, kepada lebih RM140 bilion.
Perdana Menteri berkata, prestasi cemerlang itu merupakan kejayaan yang amat membanggakan kerana hasil kutipan cukai ini menyumbang hampir separuh daripada jumlah pendapatan negara. – Malaysiapost

