BN akan jadikan Johor negeri cemerlang dan makmur

0
1

MANIFESTO Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan dokumen khusus yang dikenali sebagai ‘Ikhtiar BN’ untuk Johor yang berteraskan satu matlamat utama sambil didukungi lima ikhtiar.

Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam ucapan pelancaran manifesto itu berkata, melalui matlamat utama tersebut, Johor akan menjadi sebuah negeri yang makmur, didukungi naratif politik baharu yang matang lagi stabil.

Lima ikhtiar tersebut ialah – Kemajuan Ekonomi; Kesejahteraan Rakyat; Orang Muda Johor; Pentadbiran Integriti; dan Reformasi Politik dan akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Hasni berkata, BN Johor akan mengembalikan kehebatan ekonomi Johor yang pernah menjadi penyumbang tertinggi kepada keseluruhan pelaburan Malaysia.

Beliau berkata, ketidakstabilan politik dan pandemik ketika ini telah membantutkan kemajuan dan prestasi ekonomi negeri yang dahulu pernah disegani.

“Antara inisiatif yang tergaris ialah, melaksanakan pembangunan sosio-ekonomi di semua daerah Johor, seperti Muar sebagai hub perabot negara; mewujudkan Maharani Gateway; serta menjadikan Johor Bahru sebagai pusat perdagangan antarabangsa melalui Ibrahim International Business District,” katanya.

Selain itu, Hasni menjelaskan, tiga impetus ekonomi telah dirancang bagi memulihkan ekonomi Johor, seperti Lembah Digital Selatan; menjadikan Johor sebagai Hub Agro Makanan; dan merancakkan semula sektor Minyak dan Gas.

Hasni berkata, BN Johor komited untuk mengurangkan karenah birokrasi di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan, memudahkan urusan pelaburan ke Johor, dan menggembleng tiga wilayah pembangunan ekonomi – East Coast Economi Region, Iskandar Regional Development Authority dan Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle – demi memajukan sosio-ekonomi Bangsa Johor.

Menyentuh mengenai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), beliau berkata, BN Johor melalui inisiatif Johor Niaga akan melaksanakan inisiatif seperti pinjaman RM100 juta Bank Rakyat, modenisasi PKS, dan menggalakkan kemasukan PKS serantau ke negeri ini.

Hasni berkata, Kerajaan BN Johor melalui agenda Johor Berkebajikan komited memastikan negeri sifar miskin tegar menjelang 2025.

“Antara langkah BN Johor untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat ialah pemberian RM150 untuk keluarga berpendapatan antara RM3,001 hingga RM7,000, menaikkan nilai bantuan am JKM ke RM500, serta pelaksanaan Program Anak Angkat Makmur Johor untuk anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

“Melalui inisitiaf Johor Berbudaya dan Berkepimpinan, Hasni berkata, BN Johor akan memperkasa budaya dan kesenian Melayu, Cina, India, dan lain-lain kaum,” katanya.

Selain itu, Hasni menjelaskan, BN Johor akan mewujudkan Institut Wanita Johor sebagai pusat pemerkasaan bakat, kepimpinan dan ekonomi golongan wanita.

Menyentuh mengenai agenda memperkasa Syiar Islam, Hasni berkata, BN Johor akan menaik taraf Kolej Pengajian Islam Johor ke status, Kolej Universiti, memperkasa institusi Tahfiz Swasta, institusi wakaf, serta menaikkan elaun Imam, Bilal, Noja dan Siak.

“BN Johor, tidak akan meminggirkan kesejahteraan hidup rakyat Johor, baik di Felda, pinggiran bandar, desa, mahupun di kawasan pendalaman.

“Kualiti hidup Masyarakat Desa Johor akan ditingkatkan dalam pelbagai aspek sosio-ekonomi seperti penciptaan pekerjaan dan pemerkasaan modal insan. Bagi mencapai hasrat tersebut, BN Johor akan melaksanakan Pelan Rejuvenasi Desa Johor secara berperingkat.

“Dalam tempoh lima tahun, mobiliti rakyat akan lebih lancar dan ekonomi Johor akan semakin berkembang, disokong oleh Infrastruktur Awam Johor yang terangkum dan moden,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here