VETERAN DAP, Lim Kit Siang menggesa rakyat Johor untuk tidak mensia-siakan peluang dengan keluar mengundi pada 12 Mac ini.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, berkata sekiranya peluang itu tidak dimanfaatkan, rakyat Johor terpaksa menunggu lima tahun lagi untuk berbuat demikian.
“Tahukah anda, jika tidak mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, anda terpaksa tunggu selama lima tahun sebelum berpeluang mengundi sekali lagi?.
“Mengapa? Kerana mungkin tiada lagi PRN yang akan diadakan serentak dengan pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook.
Menggulas lanjut, Kit Siang berkata, buat pertama kalinya Johor mengadakan PRN yang berasingan daripada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.
“Jadi, jangan sia-siakan peluang keemasan untuk melaksanakan tanggungjawab anda sebagai penentu kerajaan negeri baharu dengan keluar mengundi pada 12 Mac ini,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, Kit Siang berkata, Pakatan Harapan (PH) komited membantu rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Wakil-wakil rakyat PH sentiasa cakna dengan permasalahan rakyat.
“Justeru, pada PRN Johor kali ini, ayuh kita sokong PH demi negeri Johor yang lebih baik,” katanya. – Malaysiapost

