Calon SPM terjejas banjir boleh tukar pusat peperiksaan – KPM

0
1

CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 yang terjejas banjir dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut di pusat peperiksaan lain yang boleh diakses sebagai calon menumpang.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan, berkata bagaimanapun calon terbabit perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada pusat peperiksaan asal dan bagi mendapatkan maklumat serta tindakan selanjutnya.

“Lembaga Peperiksaan (LP), KPM sentiasa memantau rapi situasi semasa pusat peperiksaan yang terjejas dan telah menyediakan pelan tindakan bagi memastikan calon SPM tahun 2021 dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan teratur dan selamat.

“KPM merujuk kepada situasi banjir yang melanda beberapa daerah di Kelantan serta Terengganu dan keadaan ini memberi kesan terhadap persiapan peperiksaan SPM tahun 2021 yang dijadualkan pada 2 Mac hingga 29 Mac ini,” menurut kenyataan itu, hari ini.

KPM berkata, berdasarkan ketetapan sedia ada, pengurusan pusat peperiksaan yang terjejas akibat banjir dilaksana mengikut ketetapan Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir Yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan Bil.1/2001.

“Sekolah atau pusat peperiksaan yang dinaiki air serta tidak dapat dimasuki akan dipindahkan ke sekolah berhampiran sebagai pusat alternatif dan jika tiada sekolah bersesuaian, calon terlibat akan menduduki peperiksaan penjadualan semula.

“Sekiranya hanya sebahagian sekolah atau pusat peperiksaan itu dinaiki air, pusat peperiksaan akan dikekalkan namun peperiksaan akan dipindahkan ke kelas atau bangunan yang lebih tinggi,” katanya.

Menurut KPM, pusat peperiksaan akan dikecualikan daripada dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir namun jika sekolah berkenaan terpaksa dijadikan PPS, ia perlu diletakkan di bangunan yang berjauhan dari pusat peperiksaan tanpa berkongsi kemudahan.

“Calon terjejas banjir yang tidak menetap di asrama sekolah akan dibenarkan menduduki peperiksaan jika lewat sampai ke pusat peperiksaan dalam tempoh 30 minit selain diberikan masa gantian yang hilang.

“Jika calon lewat sampai ke pusat peperiksaan melebihi 30 minit pertama, calon tersebut akan dibenarkan untuk menduduki peperiksaan penjadualan semua,” katanya.

Menurut kenyataan itu juga, calon terjejas banjir yang tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan perlulah menghubungi guru kelas, setiausaha peperiksaan atau pengetua sekolah untuk memaklumkan perkara tersebut dan akan dibenarkan menduduki peperiksaan penjadualan semula.

“KPM sentiasa prihatin tentang kebajikan calon yang terlibat dengan banjir. Bagi calon atau petugas peperiksaan yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai pengurusan menghadapi banjir semasa peperiksaan SPM ini sila hubungi bilik gerakan LP dan Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here