PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa demi mempertahankan Umno daripada dibubarkan, beliau terpaksa ‘membayar’ dengan harga yang tinggi termasuk berdepan 87 tuduhan rasuah.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, ketika baharu sahaja diundi untuk memimpin parti, Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkannya untuk membubarkan Umno.
Menurutnya, apabila bertegas dan enggan mendengar arahan Dr Mahathir untuk membubarkan Umno, beliau tidak biarkan begitu sahaja dan satu demi satu langkah diambil untuk ‘mengajar’ kerana berdegil.
“Saya terpaksa membayar harga yang tinggi dengan dikenakan 87 tuduhan rasuah di mahkamah apabila enggan membubarkan Umno dan membawa semua menyertai Bersatu.
“Ketika itu saya baru sahaja diundi menjadi Presiden Umno, (kira-kira 6 bulan), beliau telah mengarahkan saya berjumpanya dan membubarkan Umno,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, beliau memberi jawapan tegas kepada bekas Perdana Menteri ketujuh itu mengapa tidak akan membubarkan Umno.
“Saya kata Tun, saya tidak akan bubarkan Umno. Sebab kalau saya bubarkan Umno hari ni (lepas tu) esok saya meninggal dunia, kubur saya akan banjir”
“Kenapa banjir? 3.8 juta ahli Umno akan kencing atas kubur saya,” katanya.
Menurutnya, demi maruah Umno dan orang Melayu, selagi hidup beliau tetap akan pertahankan Umno dan akan pastikan ia tidak dibubarkan.
“Ayuh ahli Umno, marilah kita bangkit mempertahankan maruah Umno dan pastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kita menang besar. Insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

