PENGUNDI perlu membuat pilihan tepat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, demi kestabilan masa hadapan negeri itu.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata bangsa Johor kini dapat melihat parti mana yang berupaya mengembalikan kestabilan negeri itu.
Katanya, pertembungan antara Parti Ikatan Demokratik (MUDA) dengan rakan kerjasama mereka, PKR juga patut dinilai oleh rakyat Johor.
“Ini kerana sebelum ini persetujuan kedua-dua parti untuk bergabung nampaknya berlaku sebaliknya apabila Muda tetap meletakkan calon di kerusi yang ditandingi PKR di DUN Larkin,” katanya Menerusi Facebook.
Terdahulu, Asyraf mengiringi Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah yang bertanding di DUN Larkin pada proses penamaan calon, pagi tadi.
“Mohd Hairi sah menjadi calon NO.6 dalam pertembungan 6 penjuru iaitu Barisan Nasional (BN), MUDA, PKR, PN, PEJUANG dan Bebas.
“Menariknya di Dun Larkin ini juga parti MUDA bertembung dengan PKR.
“Justeru, buat pengundi Johor jangan persiakan undi anda dengan mengundi parti yang pastinya tidak dapat membentuk kerajaan secara bersendirian.
“Ini kerana masing-masing bertanding hanya sekadar untuk bertembung sesama sendiri dan bertanding atas sentimen amarah,” katanya.
Tambahnya, hanya BN yang mampu menawarkan kestabilan masa depan buat Bangsa Johor.
Pada 22 Januari lalu, PH Johor mengesahkan MUDA secara prinsipnya akan bekerjasama dengan gabungan berkenaan pada PRN Johor.
Bagaimanapun, MUDA meletakkan Ketua Penerangan parti itu, Rasid Abu Bakar, 28, sebagai calon di kerusi berkenaan, sekali gus bertembung dengan PKR. – Malaysiapost

