Kompaun wartawan bertugas, amalan dua darjat – Guan Eng

0
1

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan tindakan mengenakan kompaun RM1,000 terhadap wartawan Sin Chew yang sedang bertugas pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebagai amalan dua darjat.

Sehubungan itu, Guan Eng berkata, rakyat Johor perlu memilih dengan betul wakil rakyat untuk mentadbir negeri itu pada PRN kali ini, supaya tidak terus ditindas dan dibuli.

“Kita nak kerajaan dan wakil rakyat yang menjaga rakyat seperti Andrew Chen, bukan menindas dan membuli rakyat seperti kerajaan sekarang.

“Contohnya, penguatkuasaan SOP amalan dua darjat. Pemberita Sin Chew yang hanya menjalankan tugas membuat liputan hari penamaan calon dikompaun RM1,000 tetapi menteri-menteri yang gagal tidak dihukum.

“Ayuh rakyat Johor bangkit menghukum kerajaan yang gagal ini. Menangkan Andrew Chen (Calon PH) bukan sekadar untuk menangkan satu DUN Stulang tetapi untuk menangkan kerajaan Johor Pakatan Harapan yang membela semua rakyat tanpa kira kaum dan agama,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, beliau dan bapanya Lim Kit Siang melancarkan bilik gerakan pilihanraya calon PH DUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng.

Media hari ini melaporkan seorang wartawan akhbar Cina, Wong Kian Yong, 42, dikompaun RM1,000 kerana tidak menjaga penjarakan fizikal ketika menjalankan tugas di Dewan JKR dekat Larkin, Johor, pagi tadi.

Menurut wartawan Sin Chew Daily itu, seorang petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) datang kira-kira jam 9 pagi tadi memaklumkan dia telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here