PN jamin pulih dan rancakkan aktiviti ekonomi di Johor – Muhyiddin

0
1

PERIKATAN Nasional (PN) akan berusaha memulih dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan perniagaan di Johor jika diberi mandat rakyat negeri berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac ini.

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata usaha itu bagi memastikan kemakmuran Johor dapat dinikmati oleh setiap rakyatnya.

Beliau memberi jaminan itu ketika bertemu dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ketua komuniti Cina Bukit Pasir di Louis Woo Cafe, Muar, hari ini.

“Hari ini saya berpeluang bersarapan pagi dengan 23 pengerusi NGO dan ketua komuniti Cina Bukit Pasir di Louis Woo Cafe.

“Dalam majlis tersebut saya dapat berjumpa secara bersemuka dan mendengar pandangan dan masalah mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, kebanyakan mereka yang ditemui mengeluh mengenai kenaikan harga barang pengguna dan bahan mentah untuk perniagaan.

Katanya, peningkatan itu bukan sahaja memberi kesan kepada pelanggan tetapi juga di pihak pengusaha yang menjalankan perniagaan.

“Louis Woo, 32, yang membuka kafe tersebut sejak tiga tahun lalu mengeluh mengenai harga barang mentah untuk perniagaan kafe yang naik mendadak sejak akhir-akhir ini.

“Keadaan ini kata Louis bukan sahaja tidak baik untuk perniagaan malah membebankan pengguna dan para pelanggannya. Beliau berharap kerajaan dapat melihat dengan serius situasi ini.

“Louis bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada kerajaan PN kerana memperkenalkan Program Subsidi Upah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedikit sebanyak meringankan beban pengusaha kafe kecil sepertinya,” katanya.

Muhyiddin kemudiannya menjelaskan usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan PN dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi memulihkan kehidupan dan ekonomi negara.

“Segala usaha ini bertujuan untuk memastikan rakyat dapat meneruskan kehidupan setelah terkesan teruk dengan pandemik Covid-19.

“Saya juga memberi jaminan jika diberi peluang di Johor kerajaan negeri PN akan berusaha memulih dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan perniagaan di negeri ini bagi memastikan kemakmurannya dapat dinikmati setiap rakyat Johor,” katanya.

Dalam majlis pertemuan itu, beliau turut menyampaikan bantuan tahunan bernilai RM10,000 setiap satu kepada 23 tokong dan NGO di kawasan Bukit Pasir. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here