BANGUNAN Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Melaka yang ditutup sementara susulan mengalami keretakan susulan gegaran daripada gempa bumi kuat di utara Sumatera, Indonesia, pagi tadi dilaporkan selamat untuk diduduki.
Laporan forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka mengesahkan perkara itu dan mendapati bangunan berkenaan hanya mengalami keretakan halus pada dinding.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Pengarah JKR Melaka, Datuk Ir Ismail Abd Rahman.
“Berkaitan bangunan LHDN yang dikatakan retak susulan gempa bumi, saya menerima informasi daripada Pengarah JKR bahawa keretakan itu tidak membabitkan struktur tiang atau konkrit ‘beam’.
“Pemeriksaan dilakukan JKR pagi tadi bersama pasukan forensik dan kerosakan atau keretakan itu ditakrifkan sebagai ‘hairline cracks’.
“JKR mengiktiraf bangunan itu masih selamat digunakan kerana retak sangat halus selain tidak membabitkan sebarang struktur,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Terdahulu media melaporkan LHDN Cawangan Melaka terpaksa ditutup sementara selepas berlaku keretakan yang dikesan di tingkat lapan bangunan terbabit oleh pasukan bomba yang membuat pemeriksaan selepas gegaran gempa bumi berlaku.
LDHN dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya juga memaklumkan mengenai penutupan cawangan berkenaan. – Malaysiapost

