
KERAJAAN sudah mempunyai tarikh bagi pembukaan sempadan negara, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Menurutnya, tarikh berkenaan akan diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.
“Perdana Menteri akan mengumumkan tarikh pembukaan sempadan negara.
“Kita sudah ada tarikh pembukaan semula sempadan negara dan kita serahkan kepada Perdana Menteri untuk mengumumkannya,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, KKM sedang menyedia dan memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) berkenaan sebelum ia diumumkan kelak.
Sempadan negara ditutup bermula 18 Mac 2020 selepas Malaysia mencatatkan kes pertama Covid-19 pada 25 Januari 2020. – Malaysiapost
