PH, PN sudah lama tahu pembabitan Zeti dan keluarga dengan Jho Low – Najib

0
1
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=514624756695134&set=pb.100044428416531.-2207520000..&type=3

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menegaskan beliau dan barisan peguamnya tidak dimaklumkan mengenai pembabitan keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pihaknya hanya menyedari perkara itu pada akhir tahun 2020 setelah Surat Akuan Bersumpah ahli-ahli keluarga Gabenor tersebut kepada pihak Polis Singapura mula terbongkar dan menjadi tular.

Menurutnya, BNM dalam satu kenyataan turut mengesahkan telah melaporkan maklumat bahawa keluarga Gabenor BNM itu menerima dana sehingga RM700 juta dari Jho Low kepada sebuah agensi penguatkuasaan yang tidak dinamakan pada April 2016.

“Masa itu saya masih Perdana Menteri tetapi bekas Gabenor tersebut, BNM atau ada mana-mana agensi kerajaan tidak pernah maklumkan perkara ini kepada saya.

“Sekiranya benar apa BNM memaklumkan hari ini, ini bermaksud kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sudah lama mempunyai maklumat berhubung bekas Gabenor ini yang juga merupakan antara saksi-saksi penting dan memainkan peranan yang amat penting dalam kes-kes mahkamah SRC dan 1MDB saya,” katanya di Facebook, hari ini.

Najib mempersoalkan kenapa pihak pendakwa raya tidak pernah menyalurkan maklumat berkenaan kepada barisan peguamnya untuk pembelaan.

“Malah pendakwa raya kata mereka tiada maklumat berhubung bekas Gabenor dan seorang lagi bekas Menteri yang disyaki telah menerima dana 1MDB sebanyak RM85 juta yang disorok di Singapura semasa peguam-peguam soal mereka dalam perbicaraan mahkamah.

“Dan jika kenyataan BNM adalah benar, kenapa pula kerajaan PH dan PN tetap melantik bekas Gabenor tersebut sebagai ahli Majlis orang tua-tua serta pengerusi PNB yang menjaga dana sebanyak RM360 bilion?” soalnya.

Najib turut memuat naik siaran akhbar BNM berhubung perkara itu yang bertarikh 23 Februari 2022.

Mahkamah Rayuan pada 7 Disember 2021, menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu bagi dipertimbangkan dalam rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dihadapinya.

Najib sebelum itu pada 2 Disember 2021, memfailkan permohonan untuk memasukkan bukti baharu mengenai pembabitan keluarga Zeti yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera mendapati Najib gagal menunjukkan bukti itu adalah perlu dan tiada keadaan istimewa bagi membolehkan ia diterima oleh mahkamah. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here