Wajar tangguh PT3 – NUTP

0
2
Pelajar tingkatan 5 hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri sebagai permulaan sekolah hari ini. Pelajar calon peperiksaan utama 2020 memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpendapat pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) wajar ditangguhkan berikutan kemelut dihadapi pelajar Tingkatan Tiga ketika ini.

Presidennya, Aminuddin Awang, berkata penangguhan itu penting kerana pelajar telah keciciran pelajaran apabila hanya belajar selama beberapa bulan pada tahun 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19.

Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengambil kira sama ada pelajar Tingkatan Tiga berada dalam keadaan benar-benar sesuai dan bersedia untuk menjalani PT3, lapor Utusan Malaysia.

“Sebab itu, KPM belum membuat keputusan, mereka perlu mendapat maklum balas dari sekolah-sekolah dan membuat kajian keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Mereka juga perlu mengenal pasti sejauh mana keciciran pelajar ketika ini, sedangkan penilaian PT3 ini menyeluruh. Jadi, kami menyokong jika PT3 ini dibatal atau ditangguhkan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan mengakui pihaknya belum membuat keputusan rasmi berkaitan pelaksanaan PT3 tahun ini.

Menurut beliau, KPM sedang meneliti pendekatan sesuai berkaitan PT3 dengan mengambil kira tahap penguasaan pelajar.

Sementara itu, Aminuddin berpendapat, tempoh untuk melengkapkan silibus Tingkatan Tiga juga perlu diambil kira jika KPM tetap mahu melaksanakan PT3 tahun ini.

“Kementerian perlu mengambil kira tempoh singkat yang ada pada pelajar Tingkatan Tiga, sekolah akan mula dibuka pada 21 Mac, itu sudah hujung bulan dan akan berakhir pada Oktober, jadi tidak adil kepada pelajar untuk menghadapi PT3,” katanya.

Mengulas sistem Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK), beliau kurang bersetuju dengan kenyataan bahawa sistem terbabit tidak cukup bagus untuk menilai pelajar Tingkatan Tiga sehingga wujud cadangan supaya PT3 diperkenal semula.

“Kemasukan pelajar ke sekolah-sekolah seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berjalan dengan lancar walaupun tanpa PT3 untuk dua tahun sebelum ini.

“Pelaksanaan semula PT3 ini sudah dirancang oleh kementerian tetapi tidak ada kaitan dengan soal kemasukan pelajar,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial berkenaan pemakluman pelaksanaan PT3 yang akan diadakan semula sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada ibu bapa.

Maklumat tular itu menyatakan PT3 akan diadakan semula pada Oktober hingga November ini selari dengan Pemerkasaan PT3 yang tertangguh susulan pembatalan pelaksanaan PT3 bagi 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here