Syed Saddiq nafi Muda hanya mahu tanding kerusi ‘bandar’

0
1

PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan parti itu hanya mahu bertanding di kawasan bandar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sebaliknya beliau berkata, Muda turut bertanding di kerusi luar bandar dalam PRN itu yang akan adakan tidak lama lagi.

Katanya, demikian itu, Muda meletakkan Afiqah Zulkifli bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong.

“Ada orang kata, ‘MUDA ni nak seat bandar sahaja’.

“Saya jawab tidak. Bukan sahaja MUDA akan bertanding di kerusi tinggalan Umno dan Bersatu seperti Afiqah – Calon DUN Bukit Kepong N07, tetapi MUDA memang ada calon yang berjuang untuk hak penduduk luar bandar seperti Afiqah,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Syed Saddiq berkata, Afiqah adalah Ketua Turus bagi Parlimen Muar dan banyak membantunya menguruskan hal ehwal kebajikan penduduk di kawasan itu.

Ahli Parlimen Muar itu memberitahu, Afiqah adalah individu yang mengemudikan projek sehingga berjaya meraih lebih RM1.8 juta daripada orang ramai untuk Parlimen Muar.

“Bantu nelayan, Afiqah yang mula-mula sampai. Bantu pelajar dari keluarga susah, Afiqah yang kumpulkan nama dan hantar bantuan wang dan keperluan sekolah.

“Cerita Pakcik Hashim yang tinggal di rumah yang atapnya separuh, lantainya bocor nampak tanah – Afiqah yang mula-mula jumpa dan bantu,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata mengenali Afiqah yang juga aktivis mahasiswa ketika di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Sampai diugut dengan macam-macam tindakan sebab bawa masuk figura politik seperti Saudara Rafizi Ramli masuk UIA,” katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata Afiqah bertanggungjawab memikul tugas menjaga Muar ketika beliau menghadiri persidangan Parlimen.

Disebabkan itu, beliau yakin Afiqah adalah calon yang berpengalaman besar mengurus dan menjaga rakyat.

“Walaupun berat tanggungjawab menjadi calon DUN, tetapi Afiqah galaskan untuk masa hadapan negeri Johor yang lebih baik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here