POLIS memulakan siasatan berhubung satu hantaran di media sosial oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy yang mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana mengaitkan pihak berkuasa agama Perlis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata setakat hari ini enam laporan polis telah diterima berhubung isu tersebut.
“Polis mengesahkan telah menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan berhubung hantaran Facebook Prof Dr Ramasamy bertajuk ‘Penukaran agama secara unilateral di Perlis? perasaan situasi yang berulang lagi’.
“Hantaran bertarikh 13 Februari 2022 dikatakan bersifat provokatif dan mencetus rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana mengaitkan pihak berkuasa agama Perlis dengan istilah pengislaman unilateral penculikan, manipulasi, paksaan dan ancaman dalam mengulas isu hak penjagaan anak-anak Puan Loh Siew Hong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd Jalil berkata, sehubungan itu siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman di Bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.
Katanya, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kenyataan mengaibkan yang boleh menyebabkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
“Polis turut menasihatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum.
“Orang ramai digesa agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.
“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.
Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan tiga kanak-kanak diislamkan tanpa kebenaran, dikembalikan kepada ibu kandungnya dengan serta merta.
Tiga beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, diserahkan dengan segera kepada ibu mereka, Loh Siew Hong, selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu. – Malaysiapost

