PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tidak taksub kepada sumpah laknat, namun tuduhan mengatakan beliau membawa timbunan fail untuk meminta kes mahkamah dihadapinya digugurkan adalah keterlaluan.
Beliau berkata, tuduhan dibuat Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, memaksanya menyeru kepada bersumpah laknat kerana itu cara yang segera untuk mempertahankan diri.
“Mempertahankan diri daripada pembohongan konon membawa lambakan fail untuk meminta kes digugurkan.
“Sesungguhnya bukanlah diri ini taksub kepada sumpah laknat, namun tuduhan itu keterlaluan dan memaksa saya melakukannya,” katanya di Facebook, hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin yang enggan melayan cabaran untuk sumpah laknat bagi membuktikan dakwaan itu berasas.
Ahmad Zahid berkata, dalam keadaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kian hampir dan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) ditohmah sedemikian, beliau tiada pilihan kerana jika membawa ke mahkamah pasti panjang prosesnya dan hanya terbukti sesudah PRN Johor berakhir.
“Bersumpah bukan perkara main-main jika implikasinya mungkin tidak di dunia, tetapi diakhirat nanti. Itulah destinasi sebenar kehidupan setiap insan sedangkan dunia hanyalah tempat tumpangan sementara semata-mata.
“Kalau dia bercakap benar, kenapa takut untuk bersumpah laknat? Mungkin dia sebagai anak ulamak sudah tahu akibatnya jika dia laksanakan sumpah laknat.
“Dan apakah tindakan saya cuba mempertahankan diri dengan menyeru kepada sumpah laknat memalukan? soalnya.
Beliau berharap politik hasutan dan kebencian yang tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat dapat dihentikan
“Apapun saya dengan hati yang ikhlas dan terbuka memaafkan insan-insan yang cuba menzalimi saya sekali lagi.
“Begitu juga kepada penyokong-penyokong dan labu-labunya yang terpedaya menjadi lidah serta jari penyebar fitnah dan pembohongan.
“Semoga Tuhan mengampuni apa sahaja kesilapan kita dan kestabilan serta kemakmuran terpancar di negeri Johor pada 12 Mac ini Insy-Allah,” katanya.
Terdahulu Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata tiada halangan jika Ahmad Zahid mahu melakukan sumpah laknat menafikan dirinya pernah meminta pertolongan berhubung kes rasuah dihadapinya di mahkamah.
Beliau mengatakan tidak terkesan walau Presiden Umno itu mahu bersumpah laknat beberapa kali sekalipun, kerana dirinya tidak berbohong kepada rakyat. – Malaysiapost

