KETUA Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap dengan sokongan daripada Bersatu dan Pas mengenai pengeluaran kali terakhir i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat diluluskan segera.
“Alhamdulillah, PPBM (Bersatu) dan Pas pun sudah menyokong pengeluaran kali terakhir i-Citra KWSP RM10,000 yang amat diharap dan dituntut oleh rakyat.
“Semoga apa yang dituntut rakyat yang hakikatnya amat tertekan, terdesak dan susah dengan pelbagai komitmen bulanan dan hutang tertunggak, hilang punca pendapatan akibat pandemik akan segera diluluskan,” katanya di Facebook, hari ini.
Beliau merujuk laporan media berhubung kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menyokong mengenai pengeluaran KWSP berkenaan.
Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini menentang pengeluaran itu dilihat berlembut berhubung tuntutan itu dan terbaharu, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PN, menerima memorandum mengenai tuntutan berkenaan, hari ini.
Menerusi siaran langsung di Facebook, beliau menerima memorandum tuntutan RM10,000 daripada wakil pencarum, Azmi Mohd Tahir. – Malaysiapost

