SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) berkenan menyumbangkan 3.4 juta pelitup muka berkualiti tinggi kepada kerajaan Johor bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac ini.
Pemegang Amanah Urusan YSIJ, Datuk Avinderjit Singh, berkata pelitup muka dan 150,000 pelindung muka sumbangan YSIJ bernilai lebih RM23.2 juta itu akan diedarkan kepada setiap daerah di Johor sebelum disampaikan kepada petugas yang terlibat dalam PRN dan juga rakyat.
Beliau berkata, Sultan Iskandar amat menitikberatkan kesejahteraan serta kesihatan para petugas dan juga rakyat Johor yang akan keluar mengundi.

“Ini bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 selain sebagai langkah pencegahan demi memastikan kesejahteraan serta kesihatan petugas dan rakyat Johor sebagaimana yang sentiasa dititikberatkan Baginda Tuanku Sultan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Sultan Ibrahim, hari ini.
Terdahulu, sumbangan disampaikan Avinderjit kepada wakil Kerajaan Negeri iaitu Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) Datuk Mohd Noh Ibrahim.
Sementara itu, Mohd Noh berkata, beliau amat menghargai sumbangan berkenaan daripada YSIJ yang memberi keutamaan kepada kesihatan rakyat Johor.

“Bantuan ini akan kita serahkan kepada semua Pejabat Daerah sebelum disampaikan kepada setiap petugas PRN dan pelitup muka akan ditempatkan di setiap dewan mengundi untuk diagihkan kepada rakyat” katanya. – Malaysiapost

