MESKIPUN sebelum ini Perikatan Nasional (PN) menentang pengeluaran RM10,000 kali terakhir Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, namun akhir-akhir ini gabungan itu nampak berlembut.
Terbaharu, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari hari ini dikunjungi beberapa individu yang mengakui sebagai wakil pencarum KWSP.
Menerusi siaran langsung di Facebook, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS menerima memorandum tuntutan RM10,000 daripada wakil pencarum, Azmi Mohd Tahir.
“Kami hadir di sini untuk menyerahkan memorandum tuntutan RM10,000 wang KWSP kepada YB Ahmad Fadhli.
“Pada masa sama kita perlukan sokongan daripada YB Ahmad Fadhli. Ada perkembangan positif, beliau menyatakan akan membawa perkara ini ke Dewan Rakyat yang akan bersidang bulan depan, InsyaAllah,” kata Azmi.
Dalam video itu kelihatan Ahmad Fadhli menyantuni kunjungan mereka dan menerima memorandum tersebut.
Sebelum ini, Umno dan Barisan Nasional (BN) konsisten mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 secara one off buat kali terakhir bagi membantu mereka yang terkesan memulihkan kehidupan yang terjejas akibat pandemik.
Bagaimanapun PN menerusi Bersatu dan PAS menentang desakan itu dengan menyifatkan tiada keperluan perkara itu diluluskan memandangkan pelbagai inisiatif telah diberikan kerajaan kepada rakyat ketika ini. – Malaysiapost

