FOKUS utama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seharusnya untuk mengukuhkan lagi hubungan erat antara ahli parti pengasas sedia ada sebelum mempertimbangkan menerima parti baharu.
Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai berkata GRS kini dalam proses pendaftaran secara rasmi berikutan kejayaan parti-parti pengasas memenangi Pilihan Raya Negeri ke-16 tahun lalu.
Sehubungan itu katanya, gabungan tersebut harus mengekalkan rakan kongsi asal yang telah membuktikan komitmen serta perjuangan mereka.
Parti tersebut ialah Perikatan Nasional (PN) Sabah, Barisan Nasional (BN) Sabah dan PBS.
“Walaupun kami mengalu-alukan sokongan semua rakyat Sabah, tetapi kita tidak boleh tergesa-gesa untuk membentuk pakatan dengan parti-parti baharu di mana kesetiaan dan semangat rakan kongsi masih belum dibuktikan,” kata Joniston yang juga Ketua Penerangan GRS.
Beliau mengulas pengumuman bekas Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony semalam mengenai hasrat parti baharu pimpinannya, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) memohon menyertai GRS.
Joniston yang juga Adun Kiulu, menegaskan parti baharu yang berhasrat menyertai GRS mesti menunjukkan aspirasi dan motivasi politik mereka serta sumbangan jangka panjang yang tulus dan ikhlas kepada GRS.
“Sebarang keputusan untuk menerima parti baharu, termasuk yang mengisytiharkan mesra GRS, ke dalam gabungan itu mesti mendapat kata sepakat daripada semua rakan kongsi sedia ada.
“Lagipun individu yang menerajui parti-parti ini (berhasrat untuk menyertai GRS) adalah lawan politik kita lebih setahun lalu. Oleh itu, adalah menjadi keutamaan kita untuk menjaga rakan kongsi asal di samping mengukuhkan lagi perpaduan dalaman kita.
“Apa yang kita mahu lihat ialah gabungan yang dibina berasaskan kepercayaan dengan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dan masa depan negeri,” katanya.
Tegasnya, PBS percaya kepada kebijaksanaan Pengerusi GRS dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam memastikan keharmonian dalam kalangan semua rakan pengasas GRS kekal pada tahap tertinggi.
Sebagai parti politik tempatan yang terbesar dan tertua di Sabah, Joniston berkata PBS telah dan akan terus bekerja tanpa henti untuk mengukuhkan GRS. – Malaysiapost

