Zamihan, Rozaimi ni kenapa pula bercakaran?

0
1

PRESIDEN Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA), Dr Zamihan Mat Zin meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan Rektor Kolej Universiti Islam Perlis, Rozaimi Ramle berhubung isu solidariti dalam “mempertahankan akidah”.

Beliau berkata, aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh ASWAJA tidak semestinya perlu dilaporkan kepada pendakwah tersebut.

“Anda fikir semua aktiviti ASWAJA tu perlu dilapor kepada anda? Anda penaung ASWAJA?

“Sebenarnya ASWAJA salah satu komponen NGO yang bersatu di bawah Pembela (Pertubuhan Pembela Islam). Kami dah lama bekerjasama.

“Hanya si jahil seperti anda saja yang masih skeptikal. Jadi nak majukan poster Pembela itu kajilah fakta sikit. Jangan bengap sangat Pak Ustaz ya!” katanya di Facebook, hari ini.

Hantaran Zamihan itu sebagai membalas kenyataan Rozaimi di Facebook terhadap ASWAJA sebelum ini.

Dalam hantaran Rozaimi, beliau berkongsi poster kumpulan pendesak Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang menjemput orang ramai bersolidariti untuk kes tiga kanak-kanak diislamkan tanpa kebenaran, di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

“Selamat bersolidariti bagi yang mampu hadir. Ramai juga bertanya di mana ASWAJA dalam isu ini. Saya tidak ada jawapan dan tidak tahu.

“Mungkin kena labelkan penentang keislaman budak itu wahabi dulu kot baru mereka lantang bersuara,” katanya sinis.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan tiga kanak-kanak diislamkan tanpa kebenaran, dikembalikan kepada ibu kandungnya dengan serta merta.

Tiga beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, diserahkan dengan segera kepada ibu mereka, Loh Siew Hong, selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, berkata menurut perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 31 Mac 2021, pemohon diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas ketiga-tiga anaknya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here