TIGA negeri mencatat kadar penggunaan katil kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 50 peratus setakat semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, negeri terbabit adalah Johor sebanyak 70 peratus penggunaan katil ICU di hospital, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (65 peratus) dan Melaka (50 peratus).
Sementara itu, beliau berkata, sembilan negeri mencatatkan kadar penggunaan katil bukan ICU di hospital, melebihi 50 peratus iaitu Selangor sebanyak 104 peratus, diikuti, Perlis (101 peratus) dan Kelantan (96 peratus).
“Manakala, Perak (91 peratus), WP Putrajaya (82 peratus), Johor (82peratus), Sabah (79 peratus), WP Kuala Lumpur (77peratus) serta Pulau Pinang (50 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, bagi kadar penggunaan katil Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), enam negeri mencatatkan melebihi 50 peratus.
“Iaitu Selangor (74 peratus), Perak (58 peratus), Terengganu (58 peratus), Sabah (57 peratus), Melaka (53peratus), dan Kelantan (50 peratus),” katanya.
Beliau turut memaklumkan pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 139 pesakit.
“Namun peratusan penggunaan ventilator secara keseluruhan adalah sebanyak 36 peratus,” katanya.
Tambahnya, secara keseluruhan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kapasiti fasiliti kesihatan di hospital awam masih boleh menampung kes Covid-19 dan bulan Covid-19.
“Namun begitu, setiap negeri telah bersiapsiaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes,” katanya. – Malaysiapost

