RM40b dana Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia  

0
1

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion. 

Ia akan digunakan bagi memperbanyakkan akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutamanya untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor informal. 

Perdana Menteri berkata, program itu merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti untuk dimanfaatkan oleh setiap golongan usahawan.   

Katanya, bagi perniagaan mikro dan kecil, kerajaan peka akan keperluan akses kepada pembiayaan dengan kadar faedah yang rendah.  

“Dalam perkara ini, Skim Pembiayaan Informal dan Mikro atau SPIM, akan menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 pada kadar faedah 0 peratus dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal. Saiz dana untuk program ini sahaja berjumlah RM200 juta.   

“Manakala bagi usahawan agro-makanan, skim mikro kredit oleh Agrobank akan menawarkan pinjaman sehingga RM75,000 pada kadar 0 peratus untuk enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan.   

“Bagi perniagaan yang lebih matang pula, institusi kewangan seperti SME Bank akan menawarkan pinjaman sehingga RM10 juta di bawah skim IBS Promotion Fund 2.0 dan RM1 juta di bawah Program Pembiayaan Usahawan Muda 2.0 (atau YEF 2.0). Secara kolektif, saiz dana untuk kedua-dua skim ini berjumlah RM300 juta,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia, di Grand Ballroom, Hilton hotel, KL Sentral hari ini. 

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, untuk syarikat berdaya maju namun mempunyai kekangan mendapatkan dana baharu, kerajaan dan institusi kewangan telah merangka suatu pembiayaan bentuk baharu lebih anjal bagi meluaskan keupayaan untuk memulihkan perniagaan.  

“Salah satunya ialah melalui kaedah ‘equity crowd funding’ dan ‘peer-to-peer financing’ yang akan disokong dengan peruntukan RM80 juta secara geran padanan untuk Malaysia Co-investment Fund, tambahan kepada pelaburan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad  (BPMB) sebanyak RM100 juta. 

“Sementara bagi membantu syarikat yang berdepan masalah keberhutangan atau gearing tinggi, kaedah pendanaan melebihi RM2.2 bilion melalui pelaburan ekuiti dan ‘quasi-equity’ turut tersedia.  

“Kaedah ini diterajui oleh SME Bank dengan dana bernilai RM600 juta. BPMB juga akan menawarkan Skim RESET, atau Rehabilitation and Support Through Equity, dengan saiz dana sebanyak RM500 juta,” katanya. 

Tambahnya, Bank Negara Malaysia (BNM) juga menyediakan ‘Business Recapitalisation Facility’ bernilai RM1 bilion untuk tujuan sama.  

Justeru, katanya, secara keseluruhannya, sejumlah RM14.2 bilion dana tersedia untuk PKS.  

“Untuk ketersediaan dana berterusan, dana khas BNM terutama Targeted Relief and Recovery Facility dan Agrofood Facility telah ditingkatkan secara kolektif sebanyak RM2.5 bilion kepada RM10 bilion. Jumlah ketersediaan pelbagai dana PKS BNM pada masa ini adalah RM10 bilion,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia turut merangkumi jaminan pembiayaan perniagaan.   

“Dalam perkara ini, skim di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan, atau SJPP, akan menyediakan jaminan untuk pembiayaan yang dijadualkan dan distruktur semula dengan had jaminan bernilai RM 22 bilion.  

“Ini akan membantu syarikat mendapatkan pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperolehi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here