Muhyiddin tidak berniat persenda bapa Zahid – Wan Saiful

0
1

PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berniat mempersendakan nama bapa Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya di Mersing baru-baru ini.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menjelaskan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu bukan merujuk kepada bapa Presiden Umno itu sebaliknya perangai Ahmad Zahid dalam berpolitik.

“Saya tidak rasa Tan Sri Muhyiddin mempermainkan nama bapa Zahid. Ia bukan merujuk kepada bapa dia tetapi perangai dia.

“Zahid kata dia terasa hati nama bapa dia dipermainkan. Kalau dalam hati ada taman, cepat ‘koyak’, tak payahlah masuk politik,” katanya memetik Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum melancarkan Jentera Perikatan Nasional (PN) Ledang di pekarangan Pejabat Operasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Pusat Perdagangan Bukit Gambir di Tangkak malam tadi.

Muhyiddin ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera PN Bahagian Mersing pada Rabu lalu, didakwa mempersendakan nama bapa Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dengan memanggilnya ‘Zahid Komedi’.

Ahmad Zahid dalam hantaran Facebook mengakui terguris dan kecewa dengan perkara itu dan menyatakan beliau sama seperti insan lain mempunyai hati dan perasaan jika nama ahli keluarga dipersendakan di hadapan khalayak ramai.

Menurutnya, cara bekas perdana menteri itu bukan politik yang matang dan sejahtera malah bukan juga nilai politik yang mahu diwariskan kepada pengundi muda serta generasi masa hadapan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here