TAKTIK satu sindiket menyeludup pendatang asing tanpa izin dengan menggunakan kereta mewah bagi mengaburi pihak berkuasa berjaya dipatahkan dalam operasi di Kampung Batu 4, Tanah Merah, Kelantan, hari ini.
BH Online melaporkan seramai 24 warga Myanmar berusia 15 hingga 41 tahun ditemui dalam kereta jenis Hyundai Starex dan Toyota Vellfire, yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata kesemuanya tiada dokumen perjalanan sah dan memasuki negara ini menerusi laluan haram untuk bekerja.
“Semua 11 lelaki dan 12 wanita serta seorang kanak-kanak lelaki itu diambil di kawasan Kampung Wakaf Simen, Nibong dan akan dihantar ke Kepong, Kuala Lumpur,” katanya.
Zainuddin berkata, dua pemandu kenderaan yang berusia 40 dan 49 tahun itu mengaku menerima bayaran sebanyak RM1,500 untuk membawa pendatang asing dari Kelantan ke Kepong.
Menurutnya lagi, dua kenderaan mewah itu juga disewa dan pihaknya sudah membuat sitaan untuk siasatan lanjut manakala empat telefon bimbit juga dirampas.
“Dua pemandu yang juga lelaki tempatan itu disiasat mengikut Seksyen 26J ATIPSOM 2007 manakala semua PATI itu pula di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Bagaimanapun dua daripada warga asing berkenaan positif Covid-19 dan diasingkan dalam lokap,” katanya. – Malaysiapost

