28,825 kes baharu direkod semalam

0
1
Petugas melakukan ujian saringan Covid-19 kepada Amy Goh, 21 di Dewan Seri Siantan Sungai Tua hari ini.

KES baharu harian Covid-19 terus meningkat selepas mencatatkan 28,825 kes semalam.

Ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif jangkitan sebanyak 3,194,848 kes semenjak virus maut itu melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes harian itu membabitkan 28,734 kes tempatan dan 91 kes import.

“Sebanyak 99.63 peratus atau 28,730 kes adalah pesakit dalam kategori 1 dan 2 iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan, selebihnya 95 kes bersamaan 0.33 peratus adalah kategori 3, 4 dan 5.

“Daripada 95 kes kategori 3, 4 dan 5, sebanyak 28 kes iaitu 29.47 peratus tidak atau belum divaksinasi, 49 kes sudah menerima dua dos vaksin dan 18 kes sudah menerima dos penggalak.

“Manakala, 41 kes berumur 60 tahun ke atas, 48 kes mempunyai komorbid, dan sembilan kes yang telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan 12 kluster baharu direkodkan menjadikan keseluruhan kluster setakat ini adalah 6,704 kluster dengan 6,212 kluster telah tamat dan 492 kluster masih aktif.

“Jumlah kes sembuh pula adalah sebanyak 18,514 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,919,196 kes,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here