Muhyiddin tidak layak jadi penasihat ekonomi Johor – Isham Jalil

0
1

TAN Sri Muhyiddin Yassin tidak layak dilantik menjadi penasihat ekonomi negeri Johor berdasarkan prestasinya sebagai Perdana Menteri selama 17 bulan dahulu.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil, berkata tawaran Muhyiddin kepada rakyat Johor itu adalah sesuatu yang kontra dengan reputasi yang ditinggalkannya sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.

“Semalam Tan Sri Muhyiddin tawarkan diri untuk jadi Penasihat Ekonomi negeri Johor jika PN (Perikatan Nasional) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Pada hemat saya ini bukanlah suatu cadangan yang baik untuk rakyat Johor. Pandangan saya ini bukanlah berdasarkan soal politik, namun ia berdasarkan kepada prestasi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 selama 17 bulan dahulu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Isham, kerajaan PN pimpinan Muhyiddin telah gagal mentadbir negara sehingga rakyat semakin sengsara ketika negara berhadapan pandemik Covid-19 tahun lalu.

Tegas Isham, situasi negara bertambah buruk apabila Muhyiddin melaksanakan proklamasi darurat selama enam bulan tahun lalu gagal membendung penularan Covid-19, sebaliknya rakyat terpaksa berkurung lebih lama dengan siri pelaksanaan perintah kawalan pergerakan atau total lockdown yang lebih ketat.

Malah, Isham menegaskan, kelewatan proses vaksinasi rakyat tahun lalu turut menyumbangkan angka kematian akibat Covid-19 meningkat mendadak tahun lepas susulan ancaman varian Delta.

Namun, selepas tujuh bulan kehilangan jawatan Perdana Menteri, Muhyiddin secara terbuka menyalahkan Umno yang menyebabkan beliau belum berjaya menyelesaikan masalah negara ketika itu.

“Saya telah menulis artikel di bawah pada 13 Januari 2021, hampir setahun selepas Muhyiddin menjadi Perdana Menteri. Pada ketika itu kerajaan Muhyiddin telah gagal teruk sehingga rata-rata rakyat sengsara.

“Tujuh bulan selepas itu Muhyiddin telah letak jawatan. Dia salahkan Umno kerana kononnya telah menyebabkan dia hilang kuasa.

“Namun hakikatnya ialah dia telah terpaksa letak jawatan kerana dia telah gagal dan rakyat dan pemimpin-pemimpin politik telah menolaknya akibat kegagalannya tersebut. Rakyat tidak lupa.

“Muhyiddin perlu terima hakikat ini yang dia tidak mampu, dan beri peluang kepada orang lain yang lebih mampu untuk menyelesaikan krisis negara ini untuk kepentingan rakyat. Supaya rakyat tidak lagi sengsara seperti semasa 22 bulan dan 17 bulan partinya PPBM memerintah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here