RM12,000! Itu anggaran pendapatan sebulan mampu diraih peneroka Felda jika ladang mereka diuruskan dengan baik selari dengan harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi ketika ini.
Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata harga semasa sawit kini adalah yang tertinggi dalam sejarah, sekali gus memberi peluang kepada peneroka menikmati pendapatan lebih baik.
Jelasnya, pengurusan ladang yang baik akan meningkatkan hasil yang tinggi.
“Kami (Felda) sekarang melaksanakan program meningkatkan hasil dengan penjagaan kebun yang lebih baik.” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.
Menurut Idirs, kontrak niaga hadapan MSM di Bursa Malaysia Derivatives ditutup pada paras tertinggi baharunya Isnin lalu pada RM5,667 satu tan bagi kontrak April.
Ia berikutan berita mengenai pengurangan duti import MSM oleh India kepada lima peratus daripada 7.5 peratus.
Menurut laporan itu lagi, pemerhati pasaran menjangkakan harga MSM berpotensi mencecah RM6,000 satu tan dalam tempoh terdekat disokong asas yang kukuh ketika ini.
Dalam pada itu Idris memaklumkan Felda mengehadkan tempoh pemberian wang sara hidup peneroka kepada empat tahun bagi mengurangkan kedudukan hutang dan menjamin kesejahteraan mereka.
Katanya, penambahbaikan dalam pengurusan sedang dilakukan Felda termasuk membabitkan pemansuhan 80 peratus hutang peneroka.
Jelasnya lagi, hutang yang tinggi dalam kalangan peneroka berlaku berikutan salah faham bahawa wang sara hidup diberikan secara percuma.
“Hutang ini bukan satu yang baharu, ia sejak 10 atau 20 tahun lalu. Masa tanam semula (Felda) beri wang sara hidup. Wang sara hidup mula-mula sampai empat tahun, tetapi ada yang sampai lapan atau 10 tahun.
“Jadi, sekarang ini, kita tidak berikan wang sara hidup selepas empat tahun dan hutang dapat dikurangkan,” katanya. -Malaysiapost

