SKUAD badminton negara melangkah ke separuh akhir sebagai juara kumpulan B apabila melakar kemenangan 3-2 ke atas Jepun dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Beraksi di di Pusat Kovensyen Setia City, Malaysia memulakan aksi dengan bergaya apabila jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menyumbang mata pertama pasukan menerusi kemenangan ke atas Riku Hitano 15-21, 21-6, 21-15.
Bagaimanapun, hasrat mengutip mata kedua gagal apabila beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas mengejut di tangan beregu muda, Ayato Endo-Yuta Takei, 23-21, 16-21.
Kegagalan menamatkan permainan di set pertama biarpun mendahului 20-14 memberi kesan kepada mental dan permainan Chia dan Wooi Yik.
Selepas kekalahan Aaron-Wooi Yik, kem skuad kebangsaan cemas apabila perseorangan kedua negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin tewas kepada Koo Takahashi 21-19, 16-21, 15-21 sekali gus membolehkan Jepun mendahului 2-1.
Bagaimanapun, beregu kedua negara Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei berjaya menyamakan kedudukan hasil kejayaan menundukkan Shuntaro Mezaki-Haruya Nishida 17-21, 21-17, 21-17.
Juara remaja Asia 2017, Leong Jun Hao yang turun sebagai perseorangan ketiga menghadiahkan mata kemenangan buat pasukan negara selepas menewaskan Koshiro Moriguchi 21-18, 21-16.
Kejayaan menundukkan Jepun menyaksikan Malaysia yang sudah pun mengesahkan tiket ke separuh akhir lebih awal, semalam muncul juara Kumpulan B selepas merekodkan kemenangan dalam semua tiga perlawanan peringkat kumpulan manakala Singapura naib juara.-Malaysiapost
Kredit Foto: Twitter

