AHLI Parlimen Bentong Wong Tack dituntut oleh kerajaan Pahang supaya memohon maaf dan membayar ganti rugi sebanyak RM1 juta kerana didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah mengenai aktiviti pembalakan di negeri itu.
Notis tuntutan itu dibuat melalui firma guaman Tetuan Hidayah Ishak & Partners sama seperti yang diserahkan kepada Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.
Ahli Parlimen DAP berkenaan didakwa menyiarkan video dan membuat kenyataan di Facebook pada 28 Dis dan 30 Jan lalu yang didakwa mengakibatkan kerajaan negeri itu dipandang hina dan rendah serta menjejaskan imej.
Notis tuntutan bertarikh 4 Februari lalu yang dikongsikan Wong Tack di laman Facebooknya, mengatakan kenyataan wakil rakyat itu membawa maksud kerajaan Pahang membenarkan pembalakan tidak terkawal sehingga menyebabkan banjir teruk.

Beliau juga didakwa membayangkan kerajaan negeri terlibat dan merupakan punca kepada kegiatan pembalakan dan penerokaan secara haram di tanah hutan kerajaan Pahang.
Kenyataan Wong Tack di media sosial itu juga membawa maksud kerajaan Pahang tidak bertanggungjawab dan tidak mengambil peduli tentang kebajikan rakyat di Pahang serta menipu dan menindas rakyat dengan membenarkan pembalakan.
Ahli Parlimen terbabit diminta membuat permohonan maaf dan membayar ganti rugi dalam tempoh 14 hari selepas menerima notis berkenaan dan jika gagal, tuntutan akan difailkan di mahkamah bersama tuntutan ganti rugi lain.
Permohonan maaf tanpa syarat itu perlu dibuat secara terbuka dan melalui semua medium sebaran dan perkongsian terutama di Facebook dan Instagram.
Sementara itu, Wong Tack dalam maklum balasnya terhadap notis tuntutan itu mencabar supaya membuktikan apa yang disuarakannya adalah tidak benar.
“Ini adalah tindakan dangkal daripada Kerajaan Negeri Pahang. Sebagai wakil rakyat, adalah tanggungjawab saya untuk bersuara demi rakyat.
“Kalau apa yang saya cakap tak benar, buktikan!” katanya dalam hantaran di Facebook.
Minggu lalu Malaysiapost melaporkan kerajaan Pahang menuntut permohonan maaf dan ganti rugi RM1 juta daripada Presiden Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, berkenaan kenyataan berhubung aktiviti pembalakan di negeri itu.
Aktivis alam sekitar itu diminta berbuat demikian dalam tempoh 14 hari selepas menerima notis bertarikh 4 Februari itu dan jika gagal, tuntutan akan difailkan di mahkamah bersama tuntutan ganti rugi lain. – Malaysiapost

