Kritikan saya terhadap Rafizi berasas – Syed Badli Shah

0
2

BEKAS Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman membidas Rafizi Ramli yang diibaratkan seorang nakhoda meninggalkan kapal di saat bergelora.

Malah Syed Badli Shah mengecam tindakan Naib Presiden PKR itu yang selama ini mahu ‘berehat’ daripada arena politik secara tiba-tiba tampil lantang mengkritik parti seperti berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu.

“Saya tiada masalah peribadi dengan Rafizi dan segala kritikan hanyalah terkait soal parti dan perjuangan. Saya juga tidak menafikan segala sumbangan Rafizi pada PRU yang lalu.

“Tetapi pada saya seorang nakhoda yang tegar tidak wajar meninggalkan kapal saat laut bergelora, dan hanya kembali ketika lautan reda.

“Ketika PRN Melaka hampir berlangsung, Rafizi mengkritik keputusan parti dan menyindir pemimpin parti sahabat. Orang yang mengkritik saya dalam penulisannya ini tidak pula menegur tindak tanduk Rafizi,” katanya di Facebook, hari ini.

Syed Badli Shah berkata demikian susulan kecaman daripada beberapa individu dalam PKR berikutan kritikannya terhadap bekas Pengarah Strategik PKR itu yang dikatakan akan buat ‘comeback’ dalam arena politik negara.

“Saya sentiasa mengamalkan sikap berkata benarlah walaupun pahit dan saya tidak diajar untuk takut mengkritik terhadap sesuatu yang pada hemat saya sebagai kepincangan.

“Biarpun semua orang tidak bersetuju dengan apa yang saya sampaikan, saya tetap akan berdiri dan terus bercakap demi kebenaran.

“Saya tidak pernah goyah untuk bercakap dan menegur selagi saya tahu teguran saya berasas,” katanya.

Baru-baru ini Rafizi yang pernah digelar ‘pakar formula’ berkata beliau akan melakukan solat istikarah susulan terdapat desakan agar beliau kembali ke pentas politik.

“Lama aku fikir nak reply tweet @reformist ni. Kena tanya keluarga, kena bincang dengan shareholders, kena bincang dengan team members di tempat kerja (kucing aku Kristy confirm tak setuju).

“Bila kita ambil jalan politik, niatnya kena betul,” kata Rafizi.

Beberapa penyokong PKR sebelum itu mendesak beliau kembali aktif dalam parti selepas lama menyepi daripada arena politik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here