Najamuddin Mohd Nor
RESTU bapa mengiringi Napsiah Khamis Maharan untuk menerima keputusan parti mencalonkannya bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.
Ketua Wanita PKR Johor itu berkata, beliau telah bersedia menggalas tanggungjawab diamanahkan bagi mempertahankan DUN Kempas yang dimenangi Allahyarham Datuk Seri Osman Sapian atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
“Semua orang tahu rakyat Kempas memilih calon Pakatan Harapan (PH) pada PRU14, kemudian dikhianati oleh wakil rakyatnya yang ‘melompat’ untuk bersama geng kleptokrat untuk membentuk kerajaan negeri Johor.
“Jadi pemilihan saya di Kempas adalah untuk mengambil semula kerusi itu selain membantu membangun, memajukan dan memakmurkan rakyat di Kempas.
“Pucuk pimpinan sudah putuskan, saya akur dan mungkin ini perancangan terbaik untuk saya menjadi wakil rakyat di Kempas,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Ditebak apakah perasaannya apabila tidak dapat bertanding di DUN Puteri Wangsa tempatnya dibesarkan, Napsiah menjelaskan, ia tidak menjadi masalah kerana Kempas juga sinonim dengan dirinya.
“Di mana bumi dipijak, di situ Napsiah menjunjung langit! Kita pastikan kemenangan di Kempas demi rakyat.
“Saya memang anak jati Puteri Wangsa, membesar di sana, tapi Kempas juga tempat saya bersekolah dan menerima pendidikan. Kempas tetap sinonim bagi saya.
“Kempas dan Puteri Wangsa terletak bersebelahan sahaja, tak jadi masalah kerana Kempas juga amat dekat di hati saya, saya faham apa yang rakyat di Kempas mahu dan dahagakan,” katanya.
Bagaimanapun wanita berusia 42 tahun itu tidak mendabik dada dengan menyifatkan semua calon yang bertanding di Kempas berpotensi untuk menang.
“Saingan saya jangka sengit, tidak mudah yang disangka, tambahan pula anak Allahyarham Datuk Osman bakal bertanding di Kempas untuk meneruskan legasi ayahnya, selain dinamika politik yang cepat berubah sekarang, itu memang cabarannya.
“Namun saya dan jentera Wanita PKR akan bekerja keras menawan, memikat pengundi di Kempas, lihat apa yang kami tawarkan, apa yang kami perangi, saya yakin Kempas tetap milik PKR pada PRN kali ini,” katanya. – Malaysiapost

