KKM siasat video tular isu vaksinasi anak KJ

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyiasat video tular mendakwa cecair vaksin Covid-19 yang diberikan kepada anak bongsu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dibuang sebelum suntikan.

Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata bagaimanapun setakat ini beliau mengesahkan anak bongsu Khairy telah menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Kalau saya tengok yang ditunjuk oleh beliau (Khairy) memang anaknya telah disuntik. Beliau sendiri pun sudah terima vaksin namun kita akan buat siasatan, esok saya akan memaklumkan perkara ini kepada beliau jika video berkenaan telah disunting, kita akan ambil tindakan.

“Malah, setakat ini pun kita telah banyak siasat dan ambil tindakan. Orang ramai sentiasa mencari salah walhal pengambilan vaksin berkenaan adalah satu daripada usaha kerajaan hanya untuk melindungi kanak-kanak,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi meminta masyarakat supaya tidak mendengar berita palsu membabitkan vaksin Covid-19 terutama daripada mereka yang bukan pakar dalam bidang berkenaan.

“Tidak ada sesiapa yang ingin melindungi apa-apa. Tidak mungkin KKM menipu dan sebagainya selain kita juga sentiasa peka berkaitan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) dan hanya mahu memberikan yang terbaik demi kesihatan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, untuk meyakinkan masyarakat tentang penerimaan vaksin Covid-19, pihaknya juga telah menggerakkan unit komunikasi strategik bagi memberi penjelasan berkaitan fakta dan data mengenai vaksin Covid-19.

Katanya, selain itu KKM turut menjemput pakar kanak-kanak dan sebagainya untuk memberi penerangan di stesen televisyen mengenai kepentingan mengambil suntikan vaksin demi kebaikan kesihatan masyarakat sekali gus melindungi mereka.

Terdahulu, jururawat yang menyuntik vaksin Covid-19 kepada anak bongsu Khairy tampil menangkis dakwaan netizen bahawa beliau membuang cecair vaksin Comirnaty untuk kanak-kanak sebelum menyuntiknya.

Sebaliknya, jururawat yang melaksanakan proses berkenaan sudah melakukannya mengikut prosedur dan protokol ditetapkan.

Melalui klip video yang dimuatnaik di laman sesawang KKM pagi tadi, jururawat berkenaan, berkata proses suntikan yang dilakukan terhadap anak bongsu Khairy itu adalah sama saja dengan yang dibuat terhadap kanak-kanak lain yang menerima suntikan vaksin Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here