POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kematian mengejut seorang lelaki yang juga orang kena tuduh (OKT) di Hospital Selayang kelmarin, disebabkan penyakit arteri koronari.
Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Azri Ahmad berkata pihaknya mengklasifikasikan kematian OKT berumur 39 tahun itu sebagai mati mengejut.
“Bagaimanapun Unit Siasatan Jenayah dan Kematian dalam Tahanan (USJKT) akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut sebelum hasil siasatan diserahkan kepada koroner,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu lelaki tersebut ditahan pada jam 4.45 petang kelmarin kerana penyalahgunaan dadah.
OKT tersebut kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk tindakan selanjutnya.
Lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mempunyai satu rekod masih dikehendaki (wanted) mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bagaimanapun pada jam 5.30 petang hari sama, OKT terbabit mengadu sesak nafas dan polis telah menghubungi pihak hospital untuk membawanya ke Hospital Selayang untuk rawatan.
OKT kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 petang semasa menerima rawatan di hospital. – Malaysiapost

