
SEBANYAK 80 laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) bagi dos penggalak Covid-19 diklasifikasikan sebagai serius, setakat 11 Februari lalu.
Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara KKM, Dr Roshayati Mohamad Sani berkata, kadar berkenaan bersamaan dengan enam laporan bagi setiap juta dos.
Katanya, sehingga Jumaat lalu, 13,000,984 dos penggalak telah diberikan dan pelaporan AEFI dalam kalangan penerima dos penggalak direkodkan berjumlah 1,104 bersamaan kadar 85 laporan bagi setiap sejuta dos.
“Ini lebih rendah daripada kadar keseluruhan pelaporan AEFI (386 bagi setiap sejuta dos).
“Justeru, daripada jumlah laporan AEFI yang diterima bagi dos penggalak ini, hanya 80 laporan diklasifikasikan sebagai serius bersamaan kadar enam laporan bagi setiap juta dos,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Dr Roshayati berkata, bagi pelaporan AEFI vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, setakat ini hanya lapan laporan kesan ‘advers tidak serius’ telah diterima, bersamaan kadar 0.1 laporan bagi setiap 1,000 dos.
Tambahnya, reaksi pada kulit, muntah dan sakit pada bahagian abdomen adalah antara kesan advers yang dilaporkan.
Beliau berkata, secara keseluruhannya Sistem Pelaporan AEFI NPRA telah menerima sejumlah 24,990 laporan AEFI termasuk 1,104 laporan.
“Ini melibatkan dos penggalak vaksin Covid-19 dan lapan laporan bagi penerima vaksin golongan kanak-kanak 5 hingga bawah 12 tahun.
“Kadar pelaporan AEFI melalui Sistem AEFI NPRA ini secara keseluruhannya direkodkan pada 386 laporan bagi setiap sejuta dos.
“Majoriti atau 93 peratus daripada AEFI yang dilaporkan tidak serius. Demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, sakit otot dan keletihan, merupakan antara kesan advers yang paling kerap dilaporkan oleh penerima vaksin,” katanya.
Menurutnya, kesan berkenaan biasanya akan pulih di dalam masa satu hingga dua hari.
Katanya, daripada jumlah keseluruhan itu, terdapat 1,747 laporan yang dikategorikan sebagai AEFI serius bersamaan kadar 27 laporan bagi setiap sejuta dos,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon penerima vaksin yang mengalami sebarang kesan advers yang serius atau kesan yang berpanjangan, segera merujuk ke mana-mana fasiliti kesihatan untuk mendapatkan rawatan dan penyiasatan lanjut dijalankan.
“Kesan advers serius adalah kesan yang memerlukan kemasukan ke hospital, pemanjangan tempoh di wad, mengancam nyawa, atau disyaki menyebabkan kematian,” katanya. – Malaysiapost
