VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan kejayaan meletakkan dua pemimpin Bersatu menjadi Menteri Besar Johor hakikatnya adalah petanda kegagalan parti itu.
Beliau berkata, sebagai parti teras dalam Perikatan Nasional (PN), Bersatu dapat mengangkat dua pemimpinnya sebagai Menteri Besar Johor ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), yang kononnya dilihat sebagai pencapaian luar biasa.
“Dua pemimpin PPBM (Bersatu) pegang jawatan MB Johor dalam kerajaan PH. Suatu pencapaian luar biasa tapi sebenarnya petanda kegagalan!,” katanya menerusi Facebook.
Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu berkata, PN tidak akan mampu membawa kebaikan untuk Johor kerana gagal dalam wadah perjuangan selama 22 bulan kerajaan PH.
“Kalau sepanjang 22 bulan wadah perjuangan PPBM (Bersatu) itu suatu yang gagal, dengan tambahan falsafah ‘Dari aku mampoih, baik hangpe mampoih’ boleh ke PN bawakan kebaikan untuk negeri Johor?,” soalnya.
Terdahulu, Shahrir membidas kenyataan Ketua Pemuda Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menyifatkan PN sebagai wadah terbaik untuk Johor.
PN dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan di Putrajaya, bagaimanapun menjadi ‘seteru’ dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk Melaka dan Johor pada 12 Mac ini. – Malaysiapost

