LULUH hati melihat seorang warga emas ditumbuk dan ditendang oleh anak tirinya yang mengamuk kerana tidak diberi wang untuk membeli dadah di Kampung Ruat, Yan, Kedah, hari ini.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 pagi ketika suspek bersama ibu dan bapa tirinya berada di rumah mereka,lapor Getaran.
“Suspek dikatakan meminta wang daripada bapa tirinya yang berusia 72 tahun untuk membeli dadah, namun warga emas itu enggan menuruti kehendaknya menyebabkan pemuda terbabit menjadi berang.
“Berikutan itu suspek menumbuk belakang kepala sebelah kiri bapa tirinya. Dalam keadaan menahan sakit, warga emas tersebut duduk di luar rumah bersama isterinya,” katanya.
Suspek turut menendang belakang bapa tirinya sebelum melarikan diri.
Video kejadian itu tular di media sosial.
Shahnaz berkata, suspek yang memiliki kad pesakit mental dan penagih tegar ditahan kira kira jam 6.45 petang di Lubuk Boi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2012. – Malaysiapost

