Saifuddin ke Phnom Penh

0
1

MENTERI Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Pemukiman Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN di Phnom Penh, Kemboja.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini berkata, sesi berkenaan akan berlangsung selama dua hari bermula esok hingga 17 Februari ini.

“Sesi Pemukiman Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN ini merupakan mesyuarat berjadual yang pertama bagi Negara-negara Anggota ASEAN untuk tahun 2022.

“Sesi Pemukiman ini akan didahului dengan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN (SOM) pada 15 hingga 16 Februari 2022.

“Malaysia akan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, yang juga merangkap Pegawai Kanan ASEAN-Malaysia dalam mesyuarat itu,” menurut kenyataan itu.

Menurut Kementerian Luar Negeri, Kemboja merupakan Pengerusi ASEAN bagi tahun 2022 dengan bertemakan ‘ASEAN A.C.T. : Addressing Challenges Together’.

“Sesi Pemukiman tersebut akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Prak Sokhonn, yang juga Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa.

“Sesi juga adalah dengan penyertaan Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN serta wakil dari Myanmar,” katanya.

Menurut kenyataan itu, antara isu yang akan dibincangkan adalah pelaksanaan serta tindakan susulan terhadap keputusan yang telah dicapai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang-sidang Kemuncak yang Berkaitan; dan hubungan luar ASEAN.

“Di samping itu, turut dibincangkan inisiatif-inisiatif untuk menggerakkan bidang-bidang keutamaan dan agenda ASEAN di bawah Kepengerusian Kemboja 2022; serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa lain,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia selaku Peneraju Utama dan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Visi Komuniti ASEAN Pasca-2025, kekal komited untuk mendukung Kepaksian ASEAN dan menyokong Kemboja selaku Pengerusi bagi memastikan kemajuan berterusan ASEAN di peringkat serantau dan antarabangsa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here