Kemenangan Umno, BN kuatkan kluster mahkamah, kleptokrat – Tun M

0
2

TUN Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan 12 Mac depan sebagai agenda yang serius dan tidak boleh diambil ringan.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, PRN Johor adalah perancangan rapi direncana sekumpulan pemimpin Umno yang terpalit kes di mahkamah sebelum Umno dan Barisan Nasional (BN) melakukan ‘comeback’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Sini ingin saya memberi pandangan Johor (PRN) kepada pilihan raya umum amat besar dan tidak boleh diambil ringan.

“PRN telah dirancang oleh kumpulan yang mahkamah dan kleptokrat dari Umno. Tujuan mereka ialah untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di negeri-negeri sebagai langkah awal sebelum pilihan raya umum ke-15,” katanya dalam satu surat terbuka kepada pengundi Johor, hari ini.

Pengerusi Pejuang itu mendakwa, kemenangan BN pada PRN Johor nanti akan memudahkan apa yang dirancang sekumpulan Umno berkenaan berjalan seperti yang dikehendaki.

“Perancangan mereka ialah apabila menang pilihan raya mereka akan dapat mengguna kedudukan untuk menyelesai kes-kes salah guna kuasa, pencurian wang dan harta rakyat,” katanya.

Justeru, Dr Mahathir menegaskan, cakap-cakap PRN Johor tidak memberi apa-apa impak kepada kluster mahkamah tidak boleh diterima.

“Ada pengundi berkata bahawa kumpulan kluster mahkamah dan kleptokrat tidak bertanding di dalam PRN Johor.

“Memang benar tetapi yang bertanding di atas tiket Umno dan BN akan memberi kekuatan kepada kluster mahkamah dan kleptokrat,” katanya.

Dr Mahathir juga menggesa pengundi di Johor sedar terhadap taktik terbaru Umno itu.

“Undi saudara dan saudari menerajui kerajaan Johor amatlah penting pilihan yang dibuat, selain memberi kebaikan kepada rakyat, tidak akan merugikan bangsa, agama dan tanah air,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here