Langgar SOP: Hishammuddin mesti letak jawatan – Hannah 

0
1

PELANGGARAN prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 oleh Menteri Kanan Pertahanan yang mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan, kata Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh. 

Wakil rakyat DAP itu berkata ini Datuk Seri Hishammuddin Hussein sendiri didapati melanggar SOP pada majlis persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor anjuran MIC Johor.  

“Walaupun Menteri Kesihatan telah mengarahkan Hishammuddin dan para pemimpin kanan BN yang lain dikenakan kompaun, Hishammuddin bagaimanapun mengakui beliau telah melanggar SOP dalam jawapan balas kepada tweet saya semalam. 

“Selaku penganjur, MIC Johor sepatutnya dipersalahkan kerana gagal mengawal kehadiran orang ramai. 

“Namun sebagai menteri yang mempunyai polis pengiring, pengawal peribadi dan pegawai khas (yang selalu hadir lebih awal untuk memastikan semuanya mengikut perancangan sebelum ketibaan menteri), pelanggaran SOP oleh Menteri Kanan Pertahanan dalam sebuah majlis seperti itu adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan,” katanya hari ini. 

Hannah berkata tindakan tersebut jelas memperlihatkan sikap sombong dan mementingkan diri sendiri kepimpinan BN yang lebih mengutamakan politik Johor berbanding keselamatan rakyat. 

Menurutnya, mengenakan kompaun sahaja tidak mencukupi terutama untuk seorang Menteri Kanan yang duduk di barisan Eksekutif dan pernah dilihat menghisap vape dalam Parlimen yang diisytihar kawasan larangan merokok. 

“Jika di negara lain, menteri mereka akan meletak jawatan jika didapati melanggar SOP. Saya berpendapat Hishammuddin tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan untuk mengendali dan mengumumkan SOP Covid-19 di peringkat kebangsaan lagi. 

“Bagaimana kita boleh mempercayai beliau untuk memutuskan SOP untuk rakyat Malaysia? Ini bukan sekadar melanggar peraturan yang dibuat oleh diri sendiri.  

“Ini adalah satu lagi tindakan cuai secara terang-terangan oleh kepimpinan BN Johor sehingga memaksa PRN diadakan ketika rakyat masih belum pulih daripada kesan Covid.  

“Ini adalah kegagalan kepimpinan yang serius dan Hishammuddin mesti meletak jawatan atau digugurkan sebagai Menteri Kanan,” katanya lagi.  

Semalam Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata tiga pemimpin BN yang hadir ke pelancaran Briged MIC dikompaun atas kesalahan melanggar SOP. 

Khairy mengarahkan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan kompaun terhadap Hishammuddin; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad. 

Sementara itu, Hishammuddin menerusi ciapan di Twitternya mengakui terdapat kelemahan dalam pelaksanaan SOP dalam majlis tersebut. 

“Saya hadir sebagai tetamu dan saya terima, memang ada kelemahan dalam pematuhan SOP tadi. Tapi salah tetap salah. Tiada sesiapa boleh melanggar undang-undang, termasuk saya. Kejadian ini patut menjadi pengajaran untuk kita semua. 

“Dalam program politik, dalam apa jua kelonggaran yang diberi kita jadi susah nak kawal. Ini boleh diambil kira Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam SOP PRN Johor,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here