PELAKON dan penerbit terkenal, Datuk Afdlin Shauki memaklumkan dirinya disahkan positif Covid-19
Afdlin menerusi hantaran Instagram terbaharu, berkata dia telah disahkan positif virus berkenaan sejak beberapa hari lalu dan mula merasakan gejala.
Dalam hantaran itu juga, Afdlin memuat naik tangkap layar status terkini aplikasi MySejahtera miliknya.

“Maaf semua dah dua hari kena dan simptom makin menjadi cuma tiada sesak nafas lagi setakat ini,” tulisnya dalam hantaran itu.
Pengarah filem ‘Baik Punya Cilok’ itu juga berkata, dia menganggap dugaan yang menimpanya itu sebagai peluang untuk berehat dan lebih menjaga kesihatannya.
“Maaf kalau tak dapat jawab panggilan atau balas mesej. Aku rasa Allah SWT mahu aku rehat sementara.
“Enam orang dari team (pasukan) aku kena selepas dua tahun lebih bertahan dari terkena Covid-19. Harap maaf atas kesulitan, tapi sekarang tiba masa untuk aku jaga diri aku,” tulisnya.
Dalam ruangan komen, rata-rata pengikut dan rakan-rakan artis memohon agar Afdlin bersabar dengan dugaan itu dan mendoakan kesihatannya. – Malaysiapost

