KEDA bina 5,173 rumah keluarga miskin 

0
1

LEMBAGA Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berjaya membina 5,173 rumah golongan miskin di Kedah sejak penubuhannya pada 1981.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata daripada jumlah itu, sejumlah 1,311 rumah telah didirikan di 14 Kampung Tradisional.

Manakala, katanya, 3,862 rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bina di 44 kampung di bawah Desa KEDA. 

“Pembinaan rumah-rumah tersebut dibuat secara penempatan berkelompok dalam satu kawasan supaya dapat memudahkan penyaluran bantuan dan lain-lain kemudahan sosial bagi mencapai keharmonian dan perpaduan.

“Projek pembangunan rumah-rumah kampung seperti ini telah dilaksanakan oleh KEDA sejak Rancangan Malaysia Keempat (RMKe-4) lagi dan sehingga kini masih diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Taman Desa Pudina (PPK Kubang Kenyeng) di Kuala Nerang, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi KEDA, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun. 

Sementara itu, bagi projek pembinaan perumahan di Taman Desa Pudina Mahdzir berkata, sejumlah 60 rumah dibina dengan kos keseluruhan RM9.5 juta.

Katanya, skop projek merangkumi kerja tanah berkeluasan keseluruhan 2.2 hektar, kemudahan infrastruktur iaitu jalan dalam penempatan, bekalan air, bekalan elektrik, loji rawatan kumbahan dan gelanggang futsal.

“Pembinaan Taman Desa Pudina adalah Projek Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bertujuan untuk membantu meningkat taraf kehidupan masyarakat miskin luar bandar.

“Selain itu, pembinaan taman bukan sahaja akan memajukan kawasan sekitar daerah Padang Terap, malah keselamatan penduduk juga akan lebih terjamin,” katanya.

Mahdzir berkata, Taman Desa Pudina adalah lambang kejayaan projek di bawah KPLB, yang dilaksanakan KEDA dengan membangunkan penempatan baharu yang dilengkapi kemudahan asas serta kondusif. 

“Ia bertepatan dengan misi KPLB yang berusaha memanfaat sepenuhnya sumber manusia dan ekonomi serta membangunkan kawasan luar bandar bagi mewujudkan persekitaran sosio ekonomi yang lebih berdaya maju, sejajar dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here