Najib sedekah kepada diri sendiri – Muhyiddin

0
1

“INILAH CSR Najib – Crook’s Self en-Richment! Sedekah kepada diri sendiri,” sindir Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap jawapan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan RM42 juta duit SRC digunakan untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Muhyiddin yang juga Perdana Menteri kelapan itu menegaskan, Najib menggunakan duit tersebut untuk kepentingan peribadinya seperti yang dibuktikan mahkamah.

Beliau berkata, bukti-bukti sahih tentang penggunaan duit itu juga telah dikemukakan di mahkamah.

“Antaranya RM449,586.95 untuk bayar kad kredit Visa Platinum Najib; RM2,833,147.21 untuk bayar kad kredit Mastercard Platinum Najib; RM240,000 dibayar kepada Vital Spire Sdn Bhd untuk mengendalikan sebuah portal online; dan RM2.5 juta dibayar kepada sebuah firma guaman untuk kerja-kerja ‘political intelligence’.

“RM238,914 dibayar kepada seorang Tan Sri untuk kerja-kerja mempromosi Ah Jib Gor kepada masyarakat Cina; RM100,000 untuk membina bilik stor kediamannya di Kuala Lumpur; dan RM56,500 untuk pemasangan tangki air di kediaman di Kuala Lumpur.

“RM77,300 dibayar kepada seorang kontraktor untuk membaiki kediaman peribadinya di Pekan dan puluhan juta ringgit lagi untuk lain-lain kegunaan peribadi dan politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhyiddin secara sinis mengakui memang Najib ada membuat sumbangan kepada anak yatim, namun jumlah terlalu kecil.

“Ya, adalah juga duit yang diberi kepada anak-anak yatim. Tetapi jumlahnya tak seberapa jika dibandingkan untuk kegunaan peribadi dan politik,” katanya.

Beliau juga mendakwa kerajaan terpaksa membayar hutang SRC kepada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang dilakukan ketika Najib menjadi Perdana Menteri.

“Ini tak termasuk RM4 bilion duit KWAP yang dipinjamkan kepada SRC yang lesap entah ke mana.

“Akhirnya, kerajaan terpaksa membayar hutang SRC kepada KWAP kerana hutang ini dijamin oleh kerajaan ketika Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” katanya.

Tambahnya, Najib berulang kali menuduhnya sebagai pengkhianat, namun tiada satu mahkamah pun menjatuhi hukuman bersalah ke atasnya.

Muhyiddin berkata ketika menjadi Perdana Menteri, beliau tidak pernah menggunakan wang negara untuk kepentingan peribadi.

“Dia (Najib) juga tanya saya berapa wang yang saya belanjakan untuk rakyat?

“Sepanjang saya jadi PM, RM530 bilion saya sediakan untuk rakyat dalam macam-macam bentuk pakej bantuan dan rangsangan ekonomi. Satu sen pun tak masuk akaun saya.

“Bukan macam dia, berbilion masuk akaun sendiri. Itulah dia boss awak,” bidasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here