BN Johor diberi mandat sepenuhnya umum calon PRN Johor

0
1

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan BN Johor untuk mengumumkan calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata, semua calon terbabit akan dimuktamadkan selepas perundingan dengan parti komponen BN yang lain dan akan diumumkan sebelum penamaan calon pada 26 Februari ini.

“Saya serahkan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri dan juga Ketua Penyelaras PRN Johor untuk mengumumkannya.

“Calon akan dimuktamadkan selepas perundingan dengan semua parti komponen.

“Calon terbabit juga bukan saja akan diteliti latar belakang politiknya, tetapi juga latar belakang pelbagai,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Persidangan Perwakilan Tri Tahunan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) ketiga di Dewan Hakka, Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, menurutnya kerjasama BN dengan parti gabungan lain di bawah naungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika ini, tidak lebih hanya sokongan.

Ahmad Zahid menegaskan keutamaan diberikan terlebih dulu kepada parti teras serta parti komponen BN.

“Umno menyokong kerajaan GRS yang ada sekarang dan menyokong jika GRS didaftarkan tetapi hanya sekadar sebagai sokongan.

“Kekangan kita adalah Umno itu parti teras dalam BN. Tentunya keutamaan sebagai parti komponen dalam BN itu akan terus dikekalkan, begitu juga dengan PBRS kerana mereka adalah parti komponen BN,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu termaktub dalam perlembagaan BN dan Akta Pertubuhan 1966 menyebut parti gabungan itu boleh disertai sesebuah parti tetapi sesebuah parti itu tidak boleh menyertai lebih daripada sebuah parti gabungan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here