Larangan bermain mercun, bunga api sempena Chap Goh Mei

0
1

LARANGAN bermain mercun dan bunga api masih berkuatkuasa sempena mana-mana perayaaan termasuklah sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini dan juga perayaan Chap Goh Mei yang akan disambut pada 15 Februari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata hanya bunga api jenis ‘pop-pop’ dan ‘happy boom’ sahaja yang dibenarkan kerana kedua-duanya tidak mengandungi bahan bakar yang boleh membahayakan keselamatan.

Menurutnya, bagaimanapun penjualan kedua-dua jenis mercun itu masih memerlukan permit daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang berkaitan dan mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai bahawa larangan memiliki, menjual, membeli dan bermain mercun serta bunga api masih lagi berkuatkuasa.

“Sesiapa yang didapati melakukannya selain daripada mercun atau bunga api yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

“Bermain atau membakar mercun dan bunga api yang dilarang boleh juga dihukum penjara tidak lebih sebulan atau denda sehingga RM100 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

“Justeru, PDRM menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat serta mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here