Ambil roh Perang Badar lawan BN – Rina Harun

0
1
Kredit: Twitter

JENTERA wanita Perikatan Nasional (PN) perlu mengambil roh dan semangat Perang Badar untuk berdepan jentera Wanita Barisan Nasional (BN) yang jauh lebih ramai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Wanitanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, meskipun bilangan jentera Wanita PN jauh lebih kecil berbanding BN, itu bukan ukuran atau penghalang untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PN.

“Jadikan peristiwa Perang Badar pada zaman Nabi Muhammad SAW sebagai pedoman. Seramai 313 tentera Islam menewaskan tentera musuh yang jauh lebih ramai,” katanya dalam ucapan pelancaran jentera PN sempena PRN Johor, malam tadi.

Rina menjelaskan, tempoh 30 hari berikut cukup getir untuk Wanita PN yang menggabungkan tiga parti komponen iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan untuk menghadiahkan kemenangan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menegaskan, semua jentera wanita daripada tiga parti komponen PN perlu bersatu hati dan bergerak seiring sebagai satu pasukan.

Katanya, wanita PN perlu membuang imej lemah, sebaliknya bersedia menunjukkan semangat juang tinggi dan bekerja bersungguh-sungguh tanpa mengira masa dan waktu.

“Wanita PN kena bagi tahu suami, anak dan keluarga tempoh sebulan ini, mahu fokus kepada membantu kemenangan buat parti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here