Kaitkan PRN dengan ‘kluster mahkamah’ satu penghinaan – Annuar Musa

0
1

KETUA Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan isu ‘kluster mahkamah’ tiada kena mengena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, atau mana-mana negeri sekalipun.

Sebaliknya, beliau berkata beberapa pemimpin Umno yang berdepan dengan perkara tersebut adalah isu individu, persoalan undang-undang dan proses mahkamah.

“Ada pihak yang berpandangan bahawa Barisan Nasional (BN) perlu dikalahkan dalam PRN Johor sebagai cara untuk mengalahkan kluster mahkamah.

“Saya mendapati sukar untuk memahami logik pemikiran sedemikian. Malah saya merasakan ianya merupakan suatu penghinaan terhadap rakyat dan pengundi Bangsa Johor.

“Bagaimana mungkin soal kepentingan rakyat dan negeri Johor cuba diperkecilkan dan disempitkan menjadi isu individu dan personaliti tertentu semata-mata,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berpendapat tidak wajar mengheret rakyat Johor dalam sengketa peribadi antara individu tertentu dan masalah individu serta urusan undang-undang dan proses mahkamah juga tidak sepatutnya menjadi alasan memperjudikan nasib rakyat.

“PRN Johor perlu disambut oleh pengundi dan rakyat Johor demi kemajuan dan kesejahteraan Johor. BN dan jentera pilihan rayanya tidak akan mudah tersasar dgn provokasi yang bertubi tubi.

“Umno dan BN akan terus memberikan fokus kepada rencana untuk memajukan negeri Johor. BN dan Umno Johor akan terus membina keyakinan rakyat berdasarkan ‘track record’ Umno dan BN Johor selama ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata rakyat Johor sudah merasai pengalaman dan mengenali semua parti serta personaliti, sudah pastinya rakyat negeri itu berupaya membuat penilaian sendiri dan tidak akan tertipu sekali lagi.

“Kita akan terus gembleng tenaga dalam satu saf yang padu,turun membantu rakan-rakan Umno dan BN Johor.

“Kita tidak menentang sesiapa dan tidak perlu menyerang sesiapa. Kita turun menemui rakyat merayu mandat yang kuat dan memberi komitmen bersedia untuk berkhidmat,” katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi hantaran beliau berkata, Umno Ketereh telah di tugaskan membantu di 10 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh dan Parlimen Sembrong.

“Memandangkan banyaknya PDM di amanahkan kepada Ketereh, selain 59 PDM lagi yang diamanahkan kepada Bahagian Perhubungan Umno Negeri (BPUN) Kelantan di Kluang dan Sembrong, kita memutuskan untuk menurunkan tenaga pembantu paling ramai berbanding mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN sebelum ini.

“Ketereh juga akan turut membantu keperluan tenaga sokongan dan keperluan logistik PDM yang ditugaskan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here