BARISAN Nasional (BN) komited untuk meneruskan kembali agenda besar negara dalam gerak kerja dakwah yang sebelum ini tergendala selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.
Pengerusi Pemuda BN Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata komitmen itu dinyatakan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika bertemu dengan pendakwah bebas, Ebit Lew di Kota Kinabalu, hari ini.
“Selepas selesai Pengerusi BN merasmikan Kongres Tahunan PBRS, beliau dikunjungi pula pendakwah tersohor Ustaz Ebit Lew di hotel penginapan kami di Kota Kinabalu dan banyak perkongsian gerak kerja dakwah yang dibincangkan.
“Termasuklah mengenai Dasar Tahfiz Negara yang direncanakan kerajaan BN terdahulu untuk melahirkan 125,000 Huffaz Profesional dalam pelbagai disiplin ilmu yang terhenti apabila PH mengambil alih,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ketua Pemuda Umno itu berkata, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno menyatakan komitmen untuk meneruskan kembali agenda besar negara sebelum ini.
“Di samping memastikan kestabilan negara kembali dikecap demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya. – Malaysiapost

